ASISTEN KOMISIONER MUHAMMAD HANIF OTHMAN
MUHAMMAD HANIF OTHMAN 

Pergaduhan dikatakan berpunca daripada tindakan abang mangsa yang berusia 37 tahun bercakap kasar dengan emak mereka berhubung bil elektrik kedai makan yang tertunggak.

Mendengar abangnya bercakap kasar dengan ibu mereka, mangsa bertindak memukul suspek yang ketika itu sedang mengemas dapur di kedai makan sebelum berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, anggota Balai Polis Pantai Remis menerima panggilan berhubung satu kejadian gaduh pada pukul 11.40 malam yang berlaku di tepi jalan Pengkalan Baru Pantai Remis.

Menurutnya, ketika anggota polis sampai ke lokasi kejadian, mangsa masih hidup dalam keadaan separa sedar dan terbaring di lantai kaki lima kedai.

Katanya, suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan telah ditahan dan suspek juga mengalami kecederaan akibat dari pergaduhan tersebut.“Tidak lama kemudian, mangsa didapati kaku dan tidak bergerak lagi. Pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia kerana kesan kecederaan di kepala akibat tetakan atau tikaman senjata tajam,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Hanif berkata, bedah siasat akan dijalankan pagi ini Jabatan Forensik Ipoh manakala suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, menurut ibu mangsa berkata, kejadian berpunca apabila suspek bertengkar dengannya mengenai bil elektrik kedai makan yang tertunggak.

Menurutnya, mangsa yang terdengar percakapan kasar suspek terhadapnya, terus datang dan memukul suspek yang ketika itu sedang mengemas dapur kedai makan dengan senjata tajam.

“Selepas berlaku pergelutan dengan suspek, mangsa kemudian telah melarikan diri ke luar rumah dan dijumpai terbaring dalam keadaan kepala berlumuran darah,” katanya.

Dalam meleraikan pergaduhan tersebut, ibu mangsa juga mengalami kecederaan dan menerima rawatan di klinik kesihatan. - UTUSAN ONLINE