Memetik laporan Utusan Borneo, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.32 pagi.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan lapisan gentian kaca di bahagian bumbung bangunan dua tingkat tersebut.

“Kerja-kerja pemadaman terus dilakukan dan api berjaya dikawal pada pukul 8.48 pagi serta padam sepenuhnya kira-kira pukul 9.55 pagi dengan menggunakan satu aliran sejauh 100 meter,” lapor Utusan Borneo hari ini.

Tambahnya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

“Kebakaran dipercayai berlaku akibat daripada kerja-kerja pemotongan bumbung menggunakan ‘grinder’ untuk penggantian bumbung baharu oleh pihak kontraktor,” katanya.- UTUSAN ONLINE