Pegawai Perubatan di Hospital Christchurch, Dr. Mohamad Firdaus Mohamad Hanib memberitahu, rata-rata mangsa berkenaan masih berada dalam keadaan ketakutan dan memerlukan doa serta bantuan daripada semua pihak.

“Ramai yang masih boleh mengimbau semula kejadian tembakan, terngiang-ngiang bunyi tembakan di telinga dan takut berada di hospital walaupun polis berjaga setiap masa.

“Teruskan berdoa, semoga Allah makbulkan doa kita semua,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Menerusi hantaran terkini yang dimuat naik oleh doktor tersebut pada pukul 6 pagi waktu Malaysia, beliau turut berkongsi pengalamannya menjadi individu sokongan kepada seorang mangsa yang memberi kenyataan kepada pihak polis.

‘‘Beliau cerita secara terperinci daripada A hingga Z apa yang berlaku. Beliau menggambarkan seperti filem, tapi lebih teruk.

‘‘Tak dapat dibayangkan bagai­mana perasaan, kesakitan, ketakutan yang mereka lalui. Jika diizinkan beliau mungkin saya akan kongsi cerita,’’ tulis Dr. Mohamad Firdaus.

Jelasnya, susulan si­tuasi itu, khidmat kaunseling disediakan secara percuma walaupun kepada individu yang tidak terlibat secara langsung dalam insiden berdarah, Jumaat lalu.

“Yang cedera teruk dan masih di Unit Rawatan Rapi (ICU) mungkin perlukan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk kembali berdiri di atas kaki sendiri.

“Yang cedera ringan mungkin tidak memerlukan masa yang lama untuk balik kerja seperti biasa. Tapi yang kita selalu lupa adalah kesihatan mental,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Mohamad Firdaus meminta kerjasama semua pihak dan individu yang memiliki video tembakan di masjid itu supaya memadamkan dan tidak menyebarkannya.

“Pengganas tersebut mahu videonya disebarkan dan mahu menanam ketakutan serta kebencian dalam diri kita, janganlah kita menjadi ejen penyebaran video itu,” katanya.