Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 55 peratus individu yang terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah berjaya dipulihkan sepenuhnya.

Menurutnya, angka itu berada dalam julat pemulihan antarabangsa yang ketika ini berada antara 40 ke 60 peratus penagih dadah yang tidak lagi menyentuh bahan terlarang itu.

“Saya tidak bersetuju sekiranya dikatakan kempen tersebut kurang berkesan atau tidak berjaya selama ini, tiada negara yang berjaya mencapai tahap 90 peratus kerana dadah adalah penyakit kronik yang mudah berulang.

“Tetapi, keperluan memperbaharui bahan-bahan kempen itu memang wajar dilakukan kerana ia perlu mengikut keadaan semasa agar keberkesanannya dapat dilihat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Projek Rintis Menangani Penyalahgunaan Dadah, Bahan dan Pelencongan Sosial di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Ramli Abd. Samad yang menyatakan program pencegahan sedia ada diibaratkan sekadar ‘melepas batuk di tangga’ hanya menerusi iklan di televisyen yang kurang berkesan.

Tambah Zulkifli, pihaknya pada masa sama juga telah meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah penagih dadah yang berjaya dipulihkan kepada 65 peratus, tahun ini.

Justeru, beliau berharap, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pengasih agar terus bekerjasama dengan AADK dan pihak-pihak lain bagi mengemukakan cadangan berkesan bagi membanteras dadah dan sebagainya.

“Jika sebelum ini kita bergerak secara berasingan yang mungkin menyebabkan kempen pemulihan sukar dilakukan, maka kali ini melalui Program Rintis yang menggabungkan kesemua agensi berkaitan kita alu-alukan penglibatan semua,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE