Menurut sumber, tangkapan tersebut melibatkan 19 pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dua bekas anggota Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berusia antara 33 hingga 53 tahun.

Sumber berkata, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ adalah dari Gred 22 hingga Gred 29 yang bertugas di Pejabat JPJ Pulau Pinang dan dua bekas anggota APAD Wilayah Utara itu dipercayai menerima bayaran secara bulanan sejak 2016.

“Sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah tersebut adalah melebihi RM80,000.

“SPRM juga menahan seorang penguat kuasa wanita JPJ dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut sumber, tangkapan ini merupakan siasatan peringkat ketiga dan jumlah keseluruhan individu yang ditahan SPRM adalah sebanyak 79 orang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.-UTUSAN ONLINE