Dalam Op Gelora pada pukul 10.30 malam itu, PPM turut menahan empat tekong laut berusia 23 hingga 39 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, operasi itu dilaksanakan sejurus menerima maklumat intipan dan risikan sejak awal bulan ini.

“Kita mendapat maklumat terdapat pergerakan sindiket penyeludupan migran di Sungai Pulai, Iskandar Puteri sebelum sepasukan PPM menggempur mereka ke lokasi sebelum menemui empat buah bot gentian kaca yang dikemudi empat lelaki dewasa.

“Selepas melakukan penggeledahan, kita menjumpai 12 lelaki dan enam wanita dewasa berusia 16 hingga 47 tahun bersembunyi di dalam bot terbabit dipercayai cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak diwartakan untuk pulang ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

18 PATI kempunan balik kampung
SERAMAI 18 PATI termasuk enam wanita  dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menerusi Op Gelora di Sungai Pulai, Iskandar Puteri, Johor malam tadi. - UTUSAN ONLINE/Ihsan PDRM

Khon Chiang berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif melakukan aktiviti penyeludupan migran di Sungai Pulai tersebut sejak awal April ini.

Jelasnya, kesemua PATI yang ditahan dan empat bot disita dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua di sini untuk siasatan lanjut.

“PPM percaya masih terdapat beberapa buah lagi bot sindiket yang masih beroperasi di kawasan sekitar dan tindakan lanjut akan digerakkan bagi memburu dan memberkas saki baki sindiket terlibat berdasarkan maklumat yang dikumpulkan. - UTUSAN ONLINE