Antara menu yang disediakan sepanjang bulan puasa yang bertemakan ‘Sajian Cita Rasa Bonda’ adalah ikan keli berlado, udang masak kunyit dan ayam masak merah.

Selain itu, turut dihidangkan dalam dulang iaitu tiga menu berbeza setiap hari adalah rendang daging, sayur masak lemak putih, kacang botol goreng dengan udang kering bersama nasi tomato.

Ketua Cef Casa del Rio, Yuzgausran Yahaya berkata, berjauhan dari keluarga membuatkan beliau bertemu sesekali dengan ibunya, Zainun Mohd. Ghouse yang akan mengajar banyak resipi termasuk cara memasak makanan berasaskan kampung.

“Berbekalkan pengalaman dalam bidang kulinari selama hampir 10 tahun juga banyak membantu saya menanam minat, belajar dan mencuba pelbagai jenis masakan termasuk makanan barat dan tradisional.

“Bersempena bulan Ramadan kali ini, saya gabungkan resipi yang diajar ibu saya dan menu-menu lain yang dianggarkan lebih 200 jenis,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan Bufet Ramadan di hotel itu di sini malam ini.

Menurut Yuzgausran, dua lagi menu lain yang disediakan termasuk ikan tenggiri gerang asam dan daging masak kicap berempah yang pastinya perlu dicuba oleh pengunjung.

Selain itu katanya, terdapat menu seperti sate celup, kambing golek, burger daging dan roti john yang semua adunan bahan dan kuahnya dihasilkan sendiri oleh beliau dengan bantuan 20 orang kakitangan di The River Grill hotel itu.

Terdapat juga gerai yang menyediakan pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti pulut tekan inti kaya, kuih ketayap, bingka ubi dan pengat durian bersama pulut.

Harga bufet yang ditawarkan kepada pengunjung sepanjang bulan Ramadan yang bermula pukul 6.30 petang hingga 10 malam itu adalah RM88 bagi pengunjung dewasa dan RM44 untuk kanak-kanak berusia antara 6 hingga 11 tahun.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi talian 06-2896882 sepanjang tawaran bufet itu berlangsung sehingga 4 Jun depan. - UTUSAN ONLINE