Pelancaran majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada majlis tersebut, pelbagai aktiviti diadakan termasuk 10,000 langkah kemerdekaan, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, grafiti Malaysiaku, ziarah kasih, merdekarobik, pertandingan bintang patriotik dan pertandingan mewarna.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain dalam ucapannya mewakili Ahmad Faizal berkata, penyatuan rakyat berbilang kaum meskipun berbeza warna kulit dan pegangan agama telah menjadi tunjang kepada kekuatan, kemajuan dan pembangunan dalam negara pada masa kini.

Menurut beliau, konsep perpaduan dan penyatuan antara rakyat ini sama sekali tidak tergugat biar pun berada di ambang kemodenan di mana pelbagai cerita-cerita palsu dan fitnah bertebaran di internet.

"Ketika kita membuat sesuatu dasar, kita tidak hanya memikirkan mengenai keselesaan atau faedah yang diperolehi oleh satu-satu kaum sebaliknya turut mempertimbangkan kesan pembangunan yang akan dirasai oleh semua pihak.

"Atas sebab itu, kita berjaya meminimumkan rasa cemburu atau tidak puas hati antara kaum dan inilah satu bentuk kejayaan yang sering dicemburui dunia luar terhadap kita, rakyat Malaysia.

"Ketika mereka saling berbunuhan sesama sendiri, kita kekal bersatu di bawah satu bendera yang sama untuk terus mara ke depan demi memperbaiki taraf hidup dan menjamin kemakmuran bagi diwarisi anak cucu pada masa akan datang," katanya.

Menurut beliau, atas faktor tersebut, semua rakyat di negara ini sepatutnya berbangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan betapa kita sememangnya menghargai segala nikmat yang dimiliki.

"Tidak cukup dengan hanya mengibarkan Jalur Gemilang, saya juga mengharapkan agar setiap seorang daripada kita dapat memahami setiap maksud yang tersirat di sebalik reka bentuk dan warna yang terdapat pada bendera berkenaan," katanya.

Pada majlis sama, Hasnul Zulkarnain turut melancarkan pelepasan 30 kenderaan mewakili jabatan dan agensi di Perak yang akan menjelajah semua daerah bermula semalam hingga 31 Ogos ini.-UTUSAN ONLINE