Festival selama dua hari yang membuka tirainya hari ini bertujuan memperingati jasa tokoh ilmuan agama terkemuka, Syeikh Abdul Malik Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Pulau Manis di samping mengeratkan hubungan kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan agama serta bangsa.

Festival Haul Tok Pulau Manis tarik ribuan pengunjung
SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir berbusana Melayu di Festival Haul Tok Pulau Manis menikmati juadah tengah hari di Masjid Pulau Manis, Serada hari ini. - AZLAN BAHRUM

Penyelaras festival, Muhamad Rafi Kori berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan yang membuka ruang untuk turut disertai bersama keluarga, selain pengisian wacana, menyaksikan persembahan kesenian dan kebudayaan di samping gerai jualan.

Lebih istimewa, katanya, festival turut diserikan dengan pemandangan indah kalangan pengunjung lelaki dan wanita daripada pelbagai lapisan usia yang lengkap berbusana Melayu tradisional termasuk bertanjak sekali gus mengimbau nostalgia masyarakat Melayu dahulu kala.

“Sambutan yang diterima cukup luar biasa dan kita tidak menjangkakan lebih 3,000 orang hadir dalam tempoh empat jam selepas majlis bermula kira-kira pukul 8 pagi.

“Pengunjung bukan sahaja dalam kalangan anak negeri bahkan, turut menarik mereka yang dari Johor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Kelantan dan lain-lain lagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Muhamad Rafi, selepas selesai aktiviti pagi membabitkan pertandingan mewarna, pertunjukan silat dan pertandingan azan kanak-kanak, pengunjung menjamu selera dalam kenduri kampung, dengan 10 kawah gulai disediakan hasil sumbangan orang ramai.

Katanya, Festival Haul Tok Pulau Manis turut disertai komuniti Cina Peranakan di Kampung Tiruk yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan penduduk Kampung Pulau Manis sejak zaman lampau.

“Mereka bersama-sama menjamu selera dalam kenduri kampung dan daripada cerita orang lama, aktiviti itu secara tidak langsung menggamit tradisi dahulu kala apabila orang Cina Peranakan akan memberikan pelbagai barangan makanan kepada penduduk Kampung Pulau Manis yang melintasi kediaman mereka semasa program berselawat,” katanya.

Muhamad Rafi memberitahu, pada malam ini penyanyi terkenal, Datuk Awie akan hadir bagi menjayakan program Bicara Santai pukul 9 malam. - UTUSAN ONLINE