Bank Islam memperuntukkan kira-kira RM80,000 termasuk RM23,300 sumbangan warga Bank Islam dan zakat bernilai RM26,500 bagi menjayakan Program Amal Ihtimam Korban sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat tahunan.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Mohamed Iran Moriff Mohd. Shariff, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program tersebut bersama penduduk kampung dalam melaksanakan ibadah korban.

"Program bermula di sebelah pagi dengan acara gotong-royong menyembelih dan melapah lima ekor lembu korban, hasil penyertaan warga Bank Islam yang melaksanakan ibadah korban mereka.

"Daging tersebut kemudian diagihkan kepada lebih 200 penerima yang layak di sekitar kampung tersebut dan turut mengadakan Ziarah Amal ke lima buah rumah asnaf yang uzur dan kurang upaya bagi menyampaikan sumbangan dana zakat bank dan barangan keperluan asas kepada setiap keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selain ibadah korban, aktiviti kemasyarakatan lain turut diadakan bagi memeriahkan sambutan Aidiladha termasuklah kursus sembelihan dan pengurusan jenazah yang turut dihadiri Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil.

"Pengisian program turut melibatkan penganjuran Kursus Asas Sembelihan untuk anakanak berumur 13 tahun ke atas dan Kursus Pengurusan Jenazah untuk golongan dewasa kampung berkenaan.

"Secara keseluruhannya, peruntukan melalui dana zakat dan dana Amal Bank Islam ini kami kongsikan bersama-sama penerima manfaat dan 400 penduduk sekitar Kampung Nelayan menerusi program Amal Ihtimam Korban 2019 ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE