Bermulanya di Singapura dengan pengalaman perit dan pahit hingga berpindah ke Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, berdepan dengan peristiwa mogok dan pengaruh kumpulan kiri hingga menjadi jurucakap umat Melayu sehingga kini dan mula berpindah ke bangunan baharu yang gah tersergam di jalan yang sama.

Utusan Melayu dari segi sejarahnya sama naik dengan orang Melayu. Sejak zaman penjajah, zaman merdeka dan zaman Malaysia menjadi sebuah negara maju, sumbangan tulisan jawi membangunkan pemikiran dan jiwa orang Melayu dalam arus perjua­ngan sejak 80 tahun penubuhannya.

Perkataan Melayu adalah perkataan keramat yang menentukan Malaysia masih dipimpin utamanya orang Melayu.

Imigran awal yang datang dan tinggal lama di Melaka walaupun daripada tamadun besar mengamalkan sikap dan pendirian di mana bumi dipijak dan di situlah langit dijunjung sehingga kini menghasilkan asimilasi dan penyesuaian budaya setempat dan digelar sebagai Baba dan Nyonya Pe­ranakan.

Perlembagaan Malaysia memberikan asas Melayu sebagai beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Kemelayuan Melayu itu tunjangnya ialah Islam.

Bila zaman berubah di ma­na imigran gelombang kedua diterima sebagai warga negara Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia. Utusan Melayu akhirnya bertukar menjadi Utusan Malaysia.

Sistem pendidikan negara juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pe­ngantar di sekolah-sekolah dan universiti.

Zaman berubah dan cara berfikir dan hidup orang Melayu juga berubah. Sesete­ngah orang Melayu menjadi liberalis dan sekular hingga menyebabkan faktor Me­layu menjadi asing kepada mereka.

Sesetengah Melayu merasa malu untuk menyebut diri mereka Melayu sama ada yang terpengaruh dengan budaya hidup Barat atau kalangan orang Melayu yang terlibat dengan dakwah menganggap memperjuangkan Melayu sebagai asabiyyah dan membawa natijah rasis.

Tidak terkejut hari ini mendapati orang Melayu rasa asing dengan Utusan Malaysia dan tulisan Jawi dan berbangga dengan mengepit akhbar berbahasa Inggeris yang seolah-olah menampakkan mereka maju dan kebaratan.

Utusan Malaysia yang ditatap setiap hari adalah hasil pemikiran penulis Melayu dan bukan Melayu yang menyentuh tidak saja aspek politik, budaya, agama, pendidikan dan ilmu, tetapi sifatnya kontemporari dan mencerminkan aspek kemelayuan yang sangat terbuka dan maju.

Pendita terdahulu menyebutkan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Bangsa Malaysia yang memiliki jati diri yang tinggi sentiasa melihat Utusan Malaysia sebagai suatu wadah pengucapan bangsa Malaysia supaya akhir­nya bahasa Malaysia menjadi bahasa pemikiran, ilmu dalam binaan bangsa Malaysia yang maju.

Ini tidak dimengerti orang Melayu yang sebahagiannya menjadi kelompok kelas menengah, ahli akademik dan profesional yang beranggapan membaca Utusan Malaysia adalah sesuatu yang tidak mencerminkan maju dan tangkas.

Bayangkan kalau orang Melayu sendiri sudah memiliki sifat demikian, orang Cina juga semakin teguh dengan bahasa dan budayanya sehingga organisasi Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Dong Ziau Jong memperjuangkan bahasa dan pendidikan Cina sebagai bahasa utama serta pendekatan pendidikannya, dan hadirnya banyak akhbar Cina yang mendukung cita-cita kecinaannya.

UTUSAN MALAYSIA PERKASA JAWI

Biarpun tulisan jawi tidak lagi digunakan secara meluas pada masa ini, namun itu tidak memberi gambaran bahawa tulisan yang sinonim dengan masyarakat Melayu di Nusantara itu sudah dipinggirkan.

Bukti tulisan jawi itu tidak dipinggirkan dapat dilihat de­ngan jelas menerusi usaha akhbar Utusan Malaysia yang masih mengekalkan terbitan Portal Jawi Utusan Melayu. Portal itu boleh dilayari laman web: www.utusanmelayu.com.my/

PENGENALAN TULISAN JAWI KEKAL 2020

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Ogos semalam bertajuk Pengenalan tulisan jawi kekal bermula 2020 me­laporkan, keputusan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.

Pengenalan seni khat dan tulisan Jawi itu akan dilaksanakan bermula awal tahun depan di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Pengenalan tulisan khat dan Jawi itu dimuatkan tiga muka surat di dalam buku teks dan secara sepakat mengekalkan keputusan kerajaan agar pe­ngenalan tulisan jawi ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan