World of Robotics 2017 cabar kreativiti generasi muda

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Lebih 200 pasukan pelajar dari sekitar Lembah Klang telah menyertai World Of Robotics 2017 National Championship yang bermula Sabtu lalu sehingga hari ini.

Pertandingan anjuran World of Robotics Sdn. Bhd yang berlangsung di Asia Pacific University of Technology & Innovation(APU), Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil itu diadakan buat kali yang kedua bagi mencabar kreativiti generasi muda.

Menurut Pengarah Program World Of Robotics, Michelle Choo, peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah pelbagai latar usia seperti daripada tadika hinggalah ke sekolah menengah diuji kemahiran dan kefahaman mereka dalam bidang robotik.

“Sebanyak 40 pasukan telah mara ke peringkat separuh akhir dan dalam setiap empat kategori yang dipertandingkan, sebanyak lima kumpulan akan dipilih untuk bertanding ke peringkat akhir.

“Kami komited memilih untuk menganjurkan program ini kerana World Of Robotics 2017 National Championship merupakan satu landasan yang membolehkan pelajar menggunakan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah World of Robotics, Lee Yew Kein.

Majlis penutupan dan penyerahan hadiah berupa wang tunai dan trofi kepada para pemenang akan disempurnakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - UTUSAN ONLINE