Ujian kemahiran merentas halangan dan kawad 2018

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Lebih 800 anggota Tentera Darat menyahut cabaran menyertai Ujian Kemahiran Merentas Halangan Dan Kawad (UKMHK) 2018 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Program yang bermula dari 19 hingga 23 Februari ini turut menyaksikan sebanyak tiga acara utama seperti kawad kaki, rempuh halangan serta menembak sedia dipertandingkan.

Menurut Pemangku Panglima Briged Artileri Roket Tentera Darat, Leftenan Kolonel Ahmad Bakri Abdullah, UKMHK 2018 amat menekankan objektif penting dalam Tentera Darat.

“Sama seperti tahun sebelum ini, ujian ketahanan fizikal, mental serta semangat pasukan perlu dilalui oleh setiap pasukan untuk menguatkan ikatan kesefahaman antara satu sama lain.

“Tambahan pula, UKMHK amat dinanti-nantikan setiap tahun kerana setiap pasukan dalam Tentera Darat berpeluang mengharumkan nama pasukan masing-masing,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang pegawai wanita mewakili pasukan Depot Pusat Kor Ordans Diraja (DPOD), Siti Nur Fatihah Mustafa mengakui dia agak gementar memandangkan UKMHK 2018 menjadi program pertama yang disertainya.

“Saya baru ditauliahkan pada Mac tahun lalu dan tidak menyangka berpeluang untuk menyertai acara yang cukup besar serta sinonim dalam Tentera Darat sebegini.

“Namun begitu, mujur ada pegawai-pegawai yang memberi latihan dan tunjuk ajar sekali gus membolehkan pasukan kami memiliki persediaan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu pasangan dua beradik kembar dari Sabah, Jusley (Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja Para (8 RRD Para)) dan Joerdren Joackim (Rejimen Pertama Artileri Diraja Para (1 RAD Para)) gembira kerana terpilih untuk menunjukkan potensi diri dalam pasukan masing-masing.

Ujar Jusley, ramai anggota yang lain turut mencuba nasib namun untuk kali ini, peluang itu menyebelahi dia dan adiknya.

Adiknya, Joerdren pula berkata, minat yang sama dalam bidang ketenteraan membuatkan mereka adik-beradik mampu bertahan sekali gus memberikan persembahan yang terbaik dalam apa jua acara. – UTUSAN ONLINE