Tiger 800 Xcx, sarat dengan teknologi terkini

TAHUN 2015 menyaksikan Triumph melakukan banyak pembaharuan kepada jentera 800 dengan lebih 40 penambahbaikan bagi memberi peluang kepada mereka yang mahukan motosikal kembara serba boleh dengan kuasa enjin yang tinggi.

Masih mengekalkan penggunaan enjin tiga silinder selari namun enjin generasi kedua Triumph kini tampil dengan pacuan kawalan elektronik sepenuhnya atau Ride By Wire.

Tampil dengan model XR, XC, XRx dan XCx, Triumph mempertaruhkan XCx untuk menjadi jentera dua roda premium dengan pelbagai ciri-ciri menarik sarat dengan teknologi terkini.

Penggunaan DNA gear daripada jentera perlumbaan Triumph, Daytona, menjadikan penukaran gear pada Triumph terutama model XCx amat lancar dan selesa walaupun dalam pecutan tinggi.

Paling menarik ialah sistem mod tunggangan yang boleh dilaras mengikut kesesuaian pengguna termasuk jalan biasa, offroad, perlumbaan dan jalan licin serta basah.

Triumph XCx juga dilengkapi dengan kawalan jelajah atau cruise control yang membolehkan pendikit motosikal dikawal sehingga kelajuan 161km/j.

Saingan XCx mungkin BMW F800 GS namun dengan sistem suspensi WP dan Ride By Wire yang diperkenalkan, pastinya jenama Jerman itu akan ketinggalan jauh.

Model enjin baharu 800cc tiga silinder selari generasi kedua Triumph membolehkan XCx menggunakan bahan api dengan cara terbaik dan menjimatkan.

Dengan harga RM69,900 (motosikal sahaja, termasuk GST), bakal pemilik Triumph XCx pasti mendapat pulangan berbaloi daripada model itu dengan janaan kuasa terbaik, pengendalian mudah dan keselesaan tunggangan. Sesuai untuk kembara rentas sempadan dan juga semasa offroad.

Lawat laman web Fast Bikes di www.fastbikes.com.my untuk mengetahui pelbagai promosi yang diadakan.