Tahukah anda fakta dan kerenah 'baby' panda gergasi Liang Liang?

KUALA LUMPUR 26 Mei - ‘Shela-shela’. Itulah sebutan pertama yang keluar daripada mulut kecil anak panda gergasi pasangan Xing Xing - Liang Liang yang selamat dilahirkan pada 14 Januari lalu.

Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli berkata, anak panda yang kini berusia empat bulan dan mempunyai berat sebanyak sembilan kilogram itu lebih cepat membesar dan aktif berbanding kakaknya iaitu Nuan Nuan.

Katanya, tumbesaran yang sihat anak panda tersebut adalah kerana keadaan ibu dan bapanya yang sihat dan penjagaan rapi oleh pihak zoo.

“Sepanjang empat bulan penjagaan rapi anak panda gergasi ini, kami mendapati ia lebih cepat membesar berbanding Nuan Nuan walaupun beratnya ketika dilahirkan adalah lebih ringan berbanding kakaknya.

“Kami menjangkakan anak panda ini juga boleh dilepaskan bersama-sama ibunya lebih awal iaitu ketika berumur enam bulan berbanding Nuan Nuan yang dilepaskan ketika berusia tujuh bulan,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar penampilan pertama anak panda gergasi di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara, di sini hari ini.

Sementara itu, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, orang ramai juga berpeluang memberi pandangan dan idea nama untuk bayi kelahiran kedua oleh Liang Liang.

“Orang ramai boleh memberi pandangan dan idea nama menerusi satu portal atas talian. Bagaimanapun, pelaksanaan itu masih dalam perbincangan.

“Saya berharap, melalui kelahiran anak panda kedua ini dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara negara China dan Malaysia,” katanya.

Orang ramai turut berpeluang menyaksikan penampilan anak panda tersebut mulai hari ini di mana dua sesi dijalankan iaitu pada pukul 11 hingga 12.30 tengah hari bagi sesi pertama dan pukul dua hingga 3.30 petang bagi sesi kedua. - UTUSAN ONLINE