Salam Anak Muda: Imarah Ramadan dekatkan belia dan masyarakat

KUALA LUMPUR 25 Mei - Sempena ketibaan Ramadan ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama majlis belia negeri dan daerah menggerakkan satu program kemasyarakatan, Salam Anak Muda: Imarah Ramadan.

Pengerusinya, Mua'ammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, program ini tahunan yang memasuki tahun ketujuh pengajurannya ini bertujuan menamkan rasa prihatin dan mendekatkan belia dengan masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan melalui ziarah kasih dan sumbangan secara terus.

Katanya, pelepasan program selama 17 hari itu diadakan serentak pada 25 Mei lalu ke seluruh negara secara konvoi kenderaan empat roda dipecahkan kelima zon seperti tengah, timur, selatan, utara dan Sabah.

"Menariknya, program ini adakan serentak dengan sambutan ke-70 tahun MBM tahun ini. Antara pengisian program seperti tadarus dan tadabbur al-Quran, Singgah Sahur, Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim dan Orang Asli, sumbangan juadah berbuka kepada gelandangan, kempen elak bazir, tarawih dan moreh, ziarah kasih dan sumbangan serta Salam Anak Muda Ramadan.

"Serentak dengan itu juga, turut diadakan program Bicara Tokoh di setiap negeri yang disinggahi melibatkan tokoh belia dan bekas kepimpinan terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum menyempurnakan pelepasan peserta konvoi yang bergerak ke lima zon berkenaan dari Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE