Reena Nicky ditawar berlakon filem hindustan

KUALA LUMPUR - Selepas lebih 12 bulan penyanyi Reena Nicky berehat, tahun 2018 menampilkan Reena dengan album terbaharunya berjudul Belum Berakhir.

Reena Nicky juga melahirkan album hindi sulungnya yang bertajuk Humnawa.

Sebelum melahirkan album keduanya, Belum Berakhir, Reena Nicky mempunyai satu single dalam bahasa Tamil, ciptaan kolaborasi Matilda dan Boy Ridge berjudul Ewah!

Kegigihan pengurusan Reena Nicky tidak berhenti sekadar melahirkan album terbaharu.  Walaupun keadaan ekonomi hari ini yang tidak begitu memihak kepada penghasilan album penyanyi-penyanyi di Malaysia namun pengurusan Reena Nicky mempunyai perancangan yang cukup teliti bagi memastikan nama penyanyi wanita ini bukan sekadar suam suam kuku sahaja.

Dirancang dan diatur untuk penyanyi wanita yang pernah memeranjatkan 'pemain-pemain' hebat dalam industri hiburan tanah air apabila nama Reena Nikcy diumumkan untuk menjulang trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) bagi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, Reena Nicky diterbangkan ke Lahore, Pakistan pada akhir tahun lepas untuk melengkapkan rakaman lagu dalam bahasa Urdhu dan Punjabi.

Bukan setakat rakaman dalam studio di Lahore tetapi Reena Nicky turut menjalani penggambaran klip video (music video) di sana dan ketika menjalani penggambaran klip video, beliau ditawarkan berlakon filem hindustan.