Raja Salman diberi sambutan rasmi negara

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang tiba ke negara ini untuk lawatan rasmi diberi sambutan negara di Dataran Parlimen hari ini.

Ketibaan baginda yang juga Penjaga Dua Masjid Suci disambut Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Yang hadir sama pada upacara sambutan itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan negara.

Sejurus tiba pada pukul 11.50 pagi, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diiringi tembakan meriam 21 das sebagai penghormatan kepada Raja Arab Saudi.

Dalam upacara itu, Raja Salman turut berkenan memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai Mejar Azlan Shah Baharum. - UTUSAN ONLINE