Pesawah gembira, bersyukur bantuan RM200

ALOR SETAR 27 Mac - Golongan pesawah melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan bantuan berjumlah RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dalam satu majlis di sini hari ini.

Rata-rata pesawah yang ditemui teruja dengan bantuan tersebut dan berharap ia diteruskan di masa akan datang.

Wakil pesawah dari Pahang, Shamsul Ahmad, 44, berkata, bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban golongan pesawah yang mempunyai pendapatan tidak menentu.

“Jika cuaca baik, serangga tak kacau tanaman maka dapatlah pulangaj yang baik namun jika sebaliknya kami hanya mampu gigit jari sajalah, jadi bantuan ini amat bermakna kepada kami.

“Melalui bantuan ini juga secara tidak langsung meningkatkan penyertaan anak muda dalam bidang pertanian, kerana mereka tahu pelbagai kemudahan dan bantuan diberikan kerajaan kepada golongan pesawah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Setapa, 52, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memastikan golongan pesawah dibantu untuk meningkatkan pendapatan.

“Pun begitu saya turut berharap supaya kerajaan menambah peruntukan agar masalah bekalan air di Terengganu khususnya di Besut dapat pulih sepenuhnya.

“Terdapat beberapa kawasan terutamanya kawasan tinggi mengalami masalah bekalan air dan ini menjejaskan penanaman padi,” ujarnya.

Dalam pada itu, wakil pesawah dari Pulau Pinang, Rosli Ishak, 54, berkata, dia menyeru supaya golongan pesawah terus menyokong kerajaan sedia ada agar kebajikan pesawah terus diberi perhatian.

“Sebelum ini nelayan diberi elaun khas sara hidup RM300 kini pesawah turut diberi bantuan yang sama dengan jumlah RM200 selama tiga bulan,” katanya. 

Dalam pada itu, Marciana Peter, 48, yang mewakili pesawah Sabah berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan dan berharap bantuan tersebut diteruskan dari semasa ke semasa. - UTUSAN ONLINENormairah Jamaluddin