Ogy Datuk Ahmad Daud tidak pernah mengharapkan balasan

KUALA LUMPUR - Selama empat dekad Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih popular sebagai Ogy Ahmad Daud, 55, mendambakan dirinya dalam bidang seni. Jika individu lain yang terbabit dalam industri hiburan tanah air dikurniakan pangkat dan darjat, insan seni yang juga anak seni yang mesra dengan panggilan Kak Ogy ini tidak mengharapkan itu semua.

Bahkan Kak Ogy juga tidak pernah mengharapkan sebarang balasan. Cukup sekadar ilmu yang ada pada dirinya dikongsi bersama mereka yang ingin menimba ilmu daripadanya.

"Nanti esok bila Akak dah tak ada, siapa yang ingat pada Akak, sedekahkan Al-Fatihah," ucapnya sejujur dan seikhlas ketika menjadi selebriti undangan segmen Jom Chat bersama pengacara, Apak (Haszrul).

Kak Ogy berkata, hari ini, 90 peratus dirinya lebih cenderung ke arah menjadi seorang usahawan tetapi itu tidak bermakna, beliau menutup terus ruang untuk berlakon.

"Jika ada tawaran berlakon, kakak akan tengok pada skripnya. Jika skrip itu ada magnet, kakak akan terus melompat ke set penggambaran," ujarnya.

Kak Ogy juga memaklumkan beliau mengendalikan kelas untuk orang ramai yang mahu membina keyakinan diri, pidato umum dan juga ilmu seni lakon bersama produser, Datuk A. Aida di Taman Sri Rampai.

Satu jam Jom Chat dengan Ogy Ahmad Daud dirasakan 'pendek' masanya kerana banyak perkara yang disentuh dalam segmen bual bicara secara santai yang disiarkan secara live di Facebook Utusan Online pada setiap hari Rabu, 9 malam hingga 10 malam. - UTUSAN ONLINE