Marcell bijak dalam aturan hidup dan karier

KUALA LUMPUR - Selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, penyanyi dari Indonesia, Marcell Siahaan, 40, akhirnya akan mengadakan sebuah persembahan berskala besar buat para peminatnya di Malaysia.

Pada 23 September ini, sempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-40, Marcell akan mengadakan konsertnya bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada pukul 8 malam.

Konsert yang berdurasi kurang lebih dua jam kelak juga merupakan kali pertama diadakannya.

Sewaktu tampil sebagai selebriti undangan segmen Jom Chat di Utusan Online baru-baru ini, Marcell berkata, beliau mempunyai sebab mengapa mengambil masa yang cukup lama untuk mengadakan konsertnya di Kuala Lumpur.

"Saya sudah bersedia untuk tampil mengadakan konsert. Sebelum ini saya tidak bersedia. Makanya apabila berasa tidak bersedia, saya enggan bikin konsert," jelasnya.

Walaupun ramai rakan artis senegaranya 'berlumba-lumba' mengadakan persembahan yang dianggap sebagai persembahan berskala konsert, Marcell tidak terpanggil untuk turut berada di dalam lingkungan itu.

Marcell yang sudah bergelar suami kepada Rima Melati dan mempunyai tiga orang cahaya mata yang kesemuanya lelaki, adalah seorang artis yang berkelulusan dalam bidang undang-undang.

Di negara kelahirannya, Marcell banyak memberikan nasihat kepada rakan-rakan seperjuangannya agar peka tentang hak sebagai pengkarya.

Justeru ilmu hukum atau undang-undang berkaitan dengan hak cipta terpelihara yang ada pada dirinya dikongsi dengan mereka yang buntu atau memerlukan nasihat dalam memastikan hasil usaha dalam berkarya, sama ada dalam mencipta lagu ataupun menghasilkan lirik, hasilnya tidak dirompak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati penat lelah anak seni.

Satu pendirian yang jelas dimaklumkan oleh Marcell, beliau sama sekali tidak akan terjun ke bidang politik. - UTUSAN ONLINE