Kucing, lampin bernajis turut dicampaknya

KUALA LUMPUR 18 Jan. - "Kucing pun pernah dicampak orang dari tingkat atas," luah seorang penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Pantai Dalam.

Dia yang dikenali sebagai Naza Abdul Rahman, 42, mendakwa, kejadian seperti itu bukanlah berlaku sekali sahaja malah ia berlaku berulang kali.

“Kasihan. Memang tidak logik untuk difikirkan. Lebih-lebih lagi walaupun kucing itu tidak mempunyai akal namun kesemua haiwan mempunyai naluri yang tersendiri.

“Pasti ada yang sengaja menolak atau mencampaknya ke bawah. Saya tak berniat mahu tuduh sesiapa namun tindakan sedemikan memang betul-betul tidak masuk akal,” ujar Naza kepada Utusan Online hari ini.

Tambah Naza lagi, kadang-kala bukan sampah biasa sahaja ditemui bertaburan malah lampin pakai buang yang dipenuhi najis turut pernah ‘singgah’ di laman premisnya.

“Mungkin mereka mahu mencampak lampin itu terus ke tong sampah yang berdekatan tetapi hasil pembuangan itu tidak masuk ke tempat yang betul malah melayang ke tempat lain pula.

“Tindakan sebegitu bukan sahaja menjijikan malah kita yang berjalan di bawah ini pun sudah cukup risau. Takut-takut ada objek berbahaya melayang menimpa orang yang tidak bersalah,” luahnya dengan nada yang kesal. – UTUSAN ONLINE