KL Toon: Peluang orang ramai ekspresikan seni

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Bidang seni merupakan antara elemen yang penting dalam pembangunan sosial masyarakat meskipun ramai pihak memandang enteng akan manfaat sebenar industri ini dalam sektor membangunkan kemajuan negara.

Melalui pendedahan pengamal industri kepada orang awan menerusi program berstrategik, ia bukan sahaja membantu menaikkan imej industri kreatif malah turut memberi peluang kepada pelajar seni untuk membina rangkaian kerjaya.

Ketua Jabatan Animasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Fauzi Naeim Mohamed, 42, berkata, pelajar seni yang akan tamat belajar boleh mengambil peluang untuk mengenali pemain industri kreatif negara sebagai persediaan pada masa hadapan.

"Sehubungan itu, program anjuran Persatuan Komik Malaysia (Pekomik) dan Persatuan Animasi Malaysia (Animas) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan UniKL mempunyai matlamat yang jelas untuk mengembangkan industri kreatif ini," katanya.

Fauzi berkata demikian hari ini ketika ditemui Utusan Online dalam acara KL Toon yang diadakan di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut tentang program KL Toon, Presiden Animas, Amir Hamzah Hashim menjelaskan, selain membuka peluang kepada pelajar seni membina rangkaian, KL Toon menjadi medan untuk sesiapa sahaja mengasah bakat kreatif mereka.

"KL Toon dianjurkan selama dua hari bermula hari ini hingga esok dari pukul 10 pagi hingga 7 petang dan ia dibuka secara percuma untuk pengunjung yang ingin singgah bagi meluangkan masa.

"Menariknya penganjuran KL Toon kali ini, pertandingan Doodle yang mengangkat tema 'Kuala Lumpur Pada Masa Hadapan' mendapat penyertaan yang agak ramai sehingga 30 peserta dan esok, kartunis Zunar serta Imuda akan hadir bagi memeriahkan program ini," katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Muhammad Taufik Mohd Hafzi, 30, yang menyertai pertandingan doodle itu memberitahu, lukisan adalah sebuah tempat untuk menzahirkan ekspresi diri.

"Berdasarkan tema yang diberikan oleh pihak penganjur, saya menghasilkan satu lukisan doodle yang berkonsepkan 'Kuala Lumpur di dalam badan robot'.

"Dalamw erti kata lain dan imaginasinya, bandaraya ini boleh bergerak dan ia boleh datang kepada kita tanpa kita yang pergi ke Kuala Lumpur itu. Caranya adalah dengan hanya 'menghubungi' Kuala Lumpur secara atas talian," kongsi Taufik - UTUSAN ONLINE