Keselamatan dan efisiensi MRT seiring

KUALA LUMPUR 26 Mei - Sistem Transit Aliran Massa (MRT) merupakan satu perkhidmatan pengangkutan awam yang boleh dibanggakan kerana bukan sahaja menyediakan kemudahan yang berprinsipkan Kemudahan Akses Universal bahkan ciri-ciri keselamatannya juga terbaik.

Melalui tinjauan yang dilakukan oleh UTUSAN ONLINE di MRT Stesen Pusat Bandar Damansara baru-baru ini, stesennya dapat diakses bukan sahaja oleh orang kurang upaya (OKU) tetapi juga warga emas, wanita hamil dan ibu bapa yang membawa anak dalam stroler.

Difahamkan, stesen-stesen MRT dan tren-tren direkabentuk secara holistik untuk memberikan akses mudah selain memastikan golongan OKU mempunyai akses yang lebih baik apabila menggunakan pengangkutan awam.

Antara kemudahan yang terdapat di stesen-stesen MRT termasuklah lif mesra OKU yang mempunyai interkom, Braille di butang kawalan lif, pemegang tangan yang rendah untuk ke tangga dan paparan LCD dan sistem pengumuman awam yang menyampaikan maklumat dan mesej-mesej operasi.

Stesen-stesen MRT juga turut dilengkapi dengan Auto Platform Gate (APG) atau palang pintu di setiap platformnya di mana ia akan terbuka sendiri apabila pintu tren dibuka. 

Jarak di antara ruang tepi platform dengan tren juga adalah 50 milimeter, ini bagi memastikan pengguna tidak terdedah dengan risiko terjatuh ke laluan tren.

Manakala bagi kemudahan di dalam tren, MRT menyediakan ruang untuk kerusi roda yang berdekatan dengan pintu, peta laluan yang dinamik di dalam tren serta talian bantuan di lif lobi dan platform. 

Turut dilengkapi mesin AVM atau add value machine yang membolehkan pengguna kad touch n'go untuk tambah nilai kad mereka. - UTUSAN ONLINE