Keamanan global perlu garapan amanah, inklusiviti

IPOH 20 Nov. - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keamanan global bukan sahaja dicapai dengan pembasmian konflik malah memerlukan penerapan dua nilai penting dalam Islam iaitu amanah dan inklusiviti.

Baginda bertitah, dua prinsip tersebut perlu dititikberatkan dalam usaha mencapai kemuncak keamanan global bagi melahirkan komuniti dunia yang lebih dipercayai dan bersifat inklusif dengan setiap individu dihargai dan dihormati.

Titah baginda, proses mencapai keamanan mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil kira individu yang selalunya dipinggirkan atau terlepas pandang.

“Keamanan bukan hanya bermaksud ketiadaan perang. Beta harus zahirkan bahawa keamanan juga ialah ketiadaan rasa takut. Keamanan ialah kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian budaya.

“Keamanan juga adalah  satu penerimaan, memahami serta meraikan kepelbagaian dalam apa jua bentuk,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama diraja pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017 Kali Ke-4 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi. - UTUSAN ONLINE