Jabatan Pertanian jamu 100 biji durian kepada media

SERDANG 17 Nov. - Jabatan Pertanian Serdang hari ini menjamu 100 biji durian kepada media dalam Majlis Santai Bersama Media yang diadakan di Ladang Durian, Kompleks Pertanian Serdang, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut pelbagai jenis durian dihidangkan termasuk durian klon antaranya Musang King, D24, D2, Bangkok A, Hybrid D24 X D2 dan Bukit Merah.


Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang, Mohd. Auzie Komarudin berkata, program tersebut bertujuan mendedahkan kepada pihak media mengenai jenis-jenis durian dan cara mengenal pastinya.

“Ramai sebenarnya yang masih tidak tahu jenis-jenis durian sebagai contoh Musang King. Durian jenis ini mempunyai duri yang sekata dan berbentuk piramid serta bahagian bawahnya berbentuk tapak sulaiman.

“Manakala D24 lebih berwarna hijau dan mempunyai duri kecil di setiap empat duri besar,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Auzie berkata, pihaknya turut mengadakan hari terbuka kepada orang ramai selama tiga hari berakhir hari ini.

“Sebanyak tiga tan durian telah dihabiskan sejak hari terbuka itu diadakan dan sehingga semalam sebanyak 600 orang hadir dan dijangkakan hari ini jumlah tersebut meningkat.

“Program ini akan diteruskan di masa-masa akan datang sebagai acara tahunan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE