1,100 warga UniSZA ikrar bebas rasuah

KUALA TERENGGANU 20 Nov. - Seramai 1,100 kakitangan pentadbiran dan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini sebagai tanda komitmen bersama membasmi gejala rasuah secara holistik.

Lafaz ikrar itu diketuai oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif sambil disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Terengganu, Mohd. Zaki Hassan.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah SPRM negeri, Zainal Ayop dan Pendaftar UniSZA, Ismail Ahmad.

Ahmad Zubaidi ketika berucap dalam Majlis Menandatangani dan Melafazkan IBR itu berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat isu berkaitan rasuah termasuk mempunyai prosedur kewangan yang jelas dan teratur serta melaksanakan aktiviti audit dalaman secara berterusan.

“Majlis yang diadakan ini merupakan wadah dalam membentuk dan membudayakan warga UniSZA di semua peringkat jawatan agar berintegriti serta mempunyai keutuhan peribadi tinggi.

“Langkah ini sekali gus dapat memberi mesej kepada masyarakat bahawa kita akan menjalankan tugas dengan jujur dan amanah,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau menegaskan pihak pengurusan universiti tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana staf yang terlibat dalam perbuatan serta kesalahan jenayah rasuah. - UTUSAN ONLINE