Hayati sirah dengan sukan sunah

Memanah dahulunya digunakan sebagai satu daripada senjata utama dalam peperangan. Sehinggakan, kekuatan pasukan memanah mempengaruhi kalah atau menang sesuatu pasukan.

Diriwayatkan tentera Islam pada zaman Rasulullah SAW pernah tewas dalam perang akibat pasukan pemanah dipimpin oleh Abdullah bin Jubayr r.a., meninggalkan posisi pertahanan dalam perang Uhud.

Memanah juga merupakan senjata utama digunakan di seluruh dunia terutama kerajaan Uthmaniah untuk menentang musuh dan menakluk kembali empayar Islam daripada musuh. 

Namun malangnya, memanah dilihat semakin kurang diminati terutama oleh genarasi baru. Sehubungan itu, Kelab Memanah dan Berkuda Meru, menganjurkan sukan itu untuk diceburi oleh orang ramai.

Pemilik kelab, Shahruddin Ahmad berkata, usaha itu dilakukan bagi menggalakkan orang ramai mempelajari dan menghayati kembali sukan sunah itu. 

Selain menawarkan perkhidmatan memanah tradisional dan berkuda, Kelab Memanah dan Berkuda Meru turut memberi peluang penggemar untuk merasai pertempuran ala perang memanah sebenar.

Sementara itu, Jurulatih memanah, Anuarzaini Sanusi berkata, bukan sahaja dapat menghidupkan sunah Rasulullah, malah sukan itu turut memberi kesihatan dan menjana kekuatan tubuh.