Bunga Citra Lestari teruja tampil Live In Concert

KUALA LUMPUR - Tidak kira sama ada berkongsi pentas ataupun tampil bersama dua lagi penyanyi dari Malaysia, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra dengan panggilan Unggek dalam kalangan rakan-rakannya mengakui harus mempersiapkan diri menjelang konsert bersama Anuar Zain dan Yuka Kharisma di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur nanti.

Ketika bersua empat mata dengan penyanyi yang juga aktres dari Indonesia ini, Bunga Citra Lestari (BCL) memberitahu wartawan Utusan Online, beliau mengambil serius menjalani latihan persiapan menjelang tarikh persembahan iaitu pada 28 April depan.

Menurut BCL, inilah kali pertama beliau mengadakan persembahan berskala besar di Kuala Lumpur kerana sebelum ini, beliau pernah mengadakan persembahan di negara kelahirannya khususnya di Jakarta.

"Ya, semestinya ada rasa gementar, gugup dan teruja kerana beraksi kali pertama di khalayak Malaysia yang mana saya berdiri sebagai seorang penyanyi.

"Justeru reaksi daripada peminat yang datang menonton konsert nanti semestinya mencetuskan satu semangat untuk saya berikan persembahan yang terbaik dan akan sentiasa melekat di hati peminat," kata BCL. - UTUSAN ONLINE