Bajet 2019: Pengagihan seimbang perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pengagihan belanjawan yang seimbang untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang perlu diberi perhatian oleh kerajaan hari ini memandangkan Bajet 2019 akan diumumkan tidak lama lagi.

Tinjauan Utusan Online mendapati, rakyat secara umumnya mahu nasib mereka dibela sekali gus segala usaha produktif mereka sebagai rakyat untuk sama-sama membangunkan negara dapat dicapai.

Seorang pekerja swasta, Faizal Mukhtar, 38, berkata, sudah tentunya apabila kerajaan mengumumkan tentang bajet negara setiap tahun, rakyat sentiasa mengharapkan sesuatu yang terbaik serta mampu memudahkan pelbagai urusan rakyat.

"Setiap imbuhan yang akan dinyatakan harus diberi dengan sama rata dan adil supaya rakyat boleh menerima pengagihan belanjawan tersebut dengan sempurna.

"Mana-mana janji yang tertangguh atau terabai sebelum ini, harap dapat dimasukkan juga ke dalam intisari kandungan bajet yang akan diumumkan kelak," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat, Syahrul Redza Farhat, 22, berharap melalui bajet yang akan diumumkan nanti ia akan turut meliputi elemen kemudahan sara hidup pelajar dalam aspek pendidikan.

"Jika sebelum ini pelajar terpaksa berbelanja untuk membeli peralatan pembelajaran dengan harga yang agak mahal, sebagai pelajar saya akui perkara itu agak terbeban.

"Jadi selepas ini kalau kerajaan ada memberi inisiatif tambahan kepada pelajar mungkin dari segi perbelanjaan makanan atau barangan untuk sepanjang semester, kami dapat lebih berjimat cermat kerana sekarang pun, nak makan pun kadang-kala terpaksa dicatu," katanya.

Mengulas harapan tentang Bajet 2019, Ketua Jabatan Animasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Fauzi Naeim Mohamed, 42, mahu kerajaan juga bersikap adil untuk sektor pendidikan dalam negara.

"Trend sebelum ini kerajaan lebih mengutamakan sektor kejuruteraan berbanding ilmu-ilmu kemanusiaan sedangkan kalau dilihat pada negara luar, bidang seni serta budaya yang menaikkan sahsiah rakyatnya diberi peruntukkan yang sama," katanya. - UTUSAN ONLINE