Ayu Damit dan Eva jalan terus

KUALA LUMPUR - Nama Ayu Damit, juara program realiti televisyen, One In A Million (OIAM) musim kedua hanya meniti di bibir peminat tegar yang sentiasa mengikuti perkembangan karier nyanyiannya. Bagaimanapun, ada yang beranggapan, Ayu tidak begitu aktif menyanyi dan hilang selepas berkahwin dan beranak pinak. Sebenarnya, kehadiran penyanyi bersuara garau ini tidak menghiasi paparan di media-media tetapi hakikatnya, Ayu masih aktif dalam bidang seni pilihannya. Begitu juga dengan nama kumpulan Eva. Generasi pengikut muzik masa kini tidak mengenali kumpulan Eva tetapi kalau melayari media sosial platform YouTube, lagu Bulan Cinta berentak dangdut, mesra di halwa telinga. Untuk rekod, kumpulan Eva dianggotai oleh Linda, Rinda, Izzu dan Mimi. Mereka tidak pernah berpecah, jauh sekali berhenti daripada menyanyi. Walaupun ada kalanya penampilan mereka di atas pentas tidak sebagai satu kumpulan tetapi kumpulan Eva tetap utuh sebagai satu-satunya kumpulan wanita dangdut. #jomchat2018 yang dihoskan oleh Apak setiap Rabu, 9 malam, telah mengundang Ayu serta Linda dan Rina dari kumpulan Eva sebagai selebriti undangan. Kehadiran mereka bukan sahaja menggamatkan suasana segmen bual santai yang disiarkan secara langsung di portal berita Utusan Online dan Facebook Utusan Online tetapi yang lebih penting, perjalanan karier seni mereka untuk terus melangkah sebagai anak seni dalam industri hiburan tanah air. Semestinya rezeki itu datang dari Allah SWT tetapi manusia tidak memberikan ruang dan peluang kepada segelintir artis termasuk Ayu dan kumpulan Eva membuatkan kehadiran mereka seolah-olah 'ada dan tiada'. - UTUSAN ONLINE