Aishah dicabar secara halus, Ewal teruskan perjalanan seni dengan single baharu

KUALA LUMPUR - Kali pertama penyanyi wanita, Aishah diundang menjadi selebriti jemputan segmen bual santai secara live, Jom Chat, tiada sebarang percaturan untuk mereka topik hangat bagi mensensasikan segmen yang telah dikendalikan oleh pengacara, Apak selama lapan tahun.

Secara kebetulan, Aishah yang tampil bersama bekas peserta AF 2014, Ewal dalam Jom Chat minggu lepas, diselubungi dengan isu hadiah seutas rantai  berlian yang dikatakan bernilai RM80,000 pemberian peribadi oleh individu yang menggelar dirinya sebagai jutawan kosmetik, adalah seutas rantai palsu.

Dalam segmen yang berdurasi selama satu jam itu, Aishah memberitahu, beliau terkilan dengan kemelut yang berlaku dan ingin mencari keadilan bagi dirinya telah menceburi industri seni lebih 30 tahun.

Apa yang dilakukan oleh juara Gegar Veganza musim ke-empat (GV4) ini adalah atas dasar prinsip yang dipegangnya. Tidak sama sekali berniat untuk mencari publisiti murahan ataupun terdesak sehingga ke tahap menggadai atau pun menjual rantai berlian yang diterima.

Dalam minda Aishah juga bermain pertanyaan, manakah janji pemberian sebidang tanah lot banglo seperti yang dijanjikan selepas sembilan bulan program pertandingan realiti televisyen itu berlalu. 

Ewal, pemenang tempat ketiga AF2014 yang tampil dengan single baharunya berjudul Stuck, mengambil iktibar, apa yang menimpa Aishah.

Ewal agak bernasib baik kerana tidak timbul masalah pihak penganjur mengotakan janji. Cuma, cabaran Ewal yang bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana label adalah memasarkan single terbaharunya.

Dan Aishah juga ada single baharu berjudul Malar. - UTUSAN ONLINE