Menurut pengurus memanah Negara, Shamsuddin Ibrahim, pemilihan Muhamad Zharif Syahiir Zolkepli yang menggantikan Muhammad Ikram dalam skuad tersebut akan membantu untuk beraksi cemerlang.

“Muhammad Ikram digugurkan kerana prestasi yang tidak konsisten. Pemilihan Muhamad Zarif dilakukan berdasarkan prestasinya yang konsisten dari semasa ke semasa. Pihak kami yakin dia akan bantu skuad recurve memburu sasaran emas.

“Skuad memanah dinilai berdasarkan prestasi perseorangan. Pengguguran dan penggantian ahli tidak akan mencacatkan prestasi keseluruhan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Shamsuddin memberitahu, latihan kontinjen memanah kebangsaan tertumpu dalam mengekalkan momentum atlet yang bakal bersaing.

Katanya, pemantauan dibuat secara berterusan oleh jurulatih untuk memastikan prestasi mereka kekal sehingga acara bermula nanti.

“Pada masa sama, pihak kami akan pastikan mereka dijaga untuk elak sebarang kecederaan. Itu amat dititik beratkan buat masa ini,” jelasnya.

Selain itu, beliau menjangkakan skuad compound negara bakal menerima saingan sengit daripada musuh tradisi Indonesia, Myanmar dan Filipina manakala skuad recurve pula bakal disaingi Indonesia dan Thailand.