Zaidatul Husniah Zulkifli ketika melakukan larian dalam acara 100 meter saringan ketiga di Stadium Olimpik 2016.

Katanya, rasa terdesak untuk mengatasi rekod yang diciptanya pada Khamis lalu akan meletakkan dirinya dalam risiko mengalami kecederaan, sesuatu yang sangat ingin dielakkannya untuk memastikan dia berpeluang memenangi pingat emas temasya dwitahunan itu Ogos ini.

Atlet dari Alor Setar itu mencipta rekod baharu kebangsaan dalam Kejohanan ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan. Kejohanan itu adalah yang kedua disertainya di negara itu dalam program pendedahan di sana selama sebulan.

Zaidatul melebur rekod lama milik G. Shanti 11.50s yang dilakukan dalam kejohanan Pra Sukan SEA 1993.

Mengulas mengenai kejayaannya, atlet berusia 24 tahun itu berkata dia menghadiahkan kejayaannya kepada seluruh rakyat Malaysia agar turut sama berkongsi kegembiraan itu.

Katanya, rakyat Malaysia berhak merasai kegembiraan itu kerana mereka sudah menanti selama 24 tahun untuk melihat rekod Shanti diperbaharui.

“Ini adalah kejayaan hasil kerja keras saya untuk seluruh peminat olahraga tempatan.

“Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan agar saya dapat menghadiahkan pingat emas 100m Sukan SEA 2017 nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

“Selepas ini tumpuan saya adalah untuk mengekalkan rentak larian dan prestasi semasa. Saya tidak mahu terlalu mendesak keupayaan sendiri kerana bimbang mendapat kecederaan namun tetap akan memberikan yang terbaik dalam kejohanan yang bakal saya sertai,” tambahnya.

Sementara itu, ditanya sama ada bercadang memperbaharui rekod 200m, Zaidatul berkata: “Jika diizinkan tuhan maka tidak ada yang mustahil.

“Saya tidak mahu terlalu berharap tetapi tetap akan cuba memberikan yang terbaik dalam saingan 200m.”

Rekod 200m masih milik Shanti dengan catatan 23.37s yang dilakukan dalam Kejohanan Asia di Jepun pada 1998.