Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen berkata, kedua-dua perenang berkenaan layak di bawah kategori B.

“Jika mereka tidak dipilih oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dalam kelayakan B, kami sendiri akan hantar mereka menerusi wild cards,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Welson mempamerkan prestasi cemerlang dengan mencatat rekod kebangsaan gaya bebas lelaki 400 meter pada Kejohanan New South Wales di Australia, Mac lepas.

Perenang berusia 22 tahun itu merangkul pingat perak bagi acara berkenaan dengan catatan masa 3 minit 49.29 saat bagi memadam rekodnya sebelum ini 3:49.48s pada kejohanan Mare Nostrum di Monaco dua tahun lepas.

Perenang kelahiran Sarawak ini telah melepasi masa kelayakan yang ditetapkan bagi Kejohanan Dunia itu iaitu 3:56.14s manakala Jinq En melepasi masa ditetapkan 32.31s sebagai kelayakan.

Jinq En layak bagi kategori B selepas beliau memperbaharui rekod kebangsaannya bagi acara kuak lentang wanita 50m ketika beliau melayakkan diri ke peringkat akhir pada Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Atlit berusia 20 tahun itu yang mencatatkan rekod kebangsaan 31.54s untuk memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2017, mencatatkan masa 31.46s pada Heat Three bagi tempat kelima masa terpantas keseluruhan.

Sementara itu, Mae Chen menjelaskan bahawa ASUM akan menilai perenang lain yang berpotensi yang akan menyertai Kejohanan Renang Kebangsaan Singapura, bulan hadapan.

“Kami berharap akan ada lebih ramai lagi perenang boleh layak bagi Kejohanan Dunia,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Olimpik 2020, Mae Chen berkata, selepas Kejohanan Dunia pada Jun, Asum akan mengenalpasti pula pertandingan bagi perenang berkenaan sebagai persediaan bagi Sukan itu.

Beliau menambah bahawa Asum akan berusaha gigih dan mendorong setiap perenang berpotensi agar layak bagi Sukan Olimpik 2020. - BERNAMA