Atlet berusia 22 tahun itu meniti kecemerlangan dalam AUG di Myanmar, Disember lalu dengan meraih lima emas, satu perak dan satu gangsa.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing diduduki ­atlet memanah iaitu Nur Aliya Ghapar dengan tiga emas dan habuan bernilai RM2,100, diikuti Shaifuddin Kamro dua emas serta satu gangsa (RM1,700).

Welson, perenang kelahiran Kuching, Sarawak berkata, dia tidak menyangka dapat memperoleh insentif paling banyak dan menyifatkan ia sebagai suntikan semangat.

“Sudah tentu. Insentif ini sesuatu yang mengejutkan, saya tidak terfikir UPM agak memberi sebarang insentif untuk AUG.

“Insentif ini secara langsung menyuntik motivasi saya untuk terus berjuang mengharumkan nama negara,” katanya kepada pemberita dalam majlis Apresiasi Atlet UPM di universiti tersebut di Serdang, Selangor hari ini.

Pelajar jurusan Pemba­ngunan Sumber Manusia itu meraih empat emas menerusi 4x200 meter, 4x100m, 100m, 200m, 400m gaya bebas; pe­rak untuk 50m kuak lentang dan gangsa (200m kuak kupu-kupu).

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Aini Ideris berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan atlet di universiti itu, yang telah mewakili negara sepanjang 2018.

“Saya yakin serta percaya, ­usaha dan kerjasama erat selama ini pasti memberi impak besar kepada pembangunan sukan di UPM,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE