Bagaimanapun, ujian penggunaan oksigen maxsimum atau lebih dikenali sebagai VO2Max ibarat mimpi ngeri buat setiap atlet kerana semua kelemahan mereka dapat dibuktikan dengan menggunakan data saintifik.

Wartawan NOR AZAN FITRI AHMAD HID ZIR meluangkan masa menemui Pegawai Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zam ri Abd. Kahar untuk melihat bagaimana ujian itu dijalankan terhadap pemain bola sepak UiTM dan Selangor yang beraksi dalam Liga Malaysia.
 

SETIAP atlet di dunia perlu menjalani pelbagai ujian bagi menentukan tahap kecergasan mereka sebelum disahkan boleh beraksi dalam mana-mana kejohanan atau diserap ke sesebuah pasukan.

Begitupun, ujian VO2 Max dianggap mimpi ngeri buat keba­nyakan atlet kerana mereka tidak boleh menipu jika memperoleh keputusan yang tidak menggembirakan.

Dalam kata lain, tahap kecergasan atlet bergantung kepada banyak faktor termasuk kecede­raan, namun gaya hidup tidak sihat seperti merokok juga mampu menjadi penyumbang atlet tidak cergas.

Inilah yang sering cuba ‘ditutup’ oleh atlet, namun VO2 Max akan mendedahkan segala-galanya kerana ujian saintifik itu adalah medium terbaik untuk mengukur tahap pengambilan oksigen secara langsung, selain mengukur kadar degupan jantung maksimum.

Ujian ini penting kerana ia dapat memberi maklumat tepat yang diperlukan jurulatih bagi membentuk sebuah pasukan.

UiTM mengambil inisiatif menyediakan makmal bagi membolehkan ujian VO2 Max dijalankan ke atas pasukan bola sepak mereka selain Selangor sebagai persiapan Liga Malaysia yang membuka tirai 1 Februari ini.

Pegawai Sukan UiTM, Zamri Abd. Kahar berkata, pelbagai ­aspek diambil kira menerusi ujian yang dijalankan dengan menggunakan protokol Bruce termasuk kadar degupan jantung, pengambilan oksigen pada skala mililiter per kilogram dan ratio pernafasan setiap pemain.

“Protokol Bruce memiliki lapan tahap ujian dan setiap tahap memerlukan pemain berlari selama tiga minit di atas treadmill dengan grade berbeza.

“Memang ini adalah mimpi ngeri setiap atlet kerana semua kelemahan mereka akan dikesan secara saintifik dan VO2 Max juga mampu mengesan sekiranya mereka memiliki sakit jantung. Data tidak menipu, jadi tiada apa yang boleh disorok menerusi ujian ini,” katanya.

Setiap keputusan ujian akan dihantar kepada pakar rujuk, Dr. Hashbullah Ismail dan saranan khusus akan diberi kepada jurulatih sama ada pemain itu perlu menjalani latihan bersesuaian untuk meningkatkan tahap kecergasan.