ZAIDATUL HUSNIAH ZULKIFLI
ZAIDATUL HUSNIAH ZULKIFLI

Zaidatul Husniah, 24, mencatat kepantasan 11.45 saat untuk memadam rekod kebangsaan, 11.50s yang dilakukan Shanti pada kejohanan Pra Sukan SEA 1993 di Kuala Lumpur.

Malah, catatan yang dilakukan Zaidatul Husniah itu juga membolehkan dia menjadi pelari wanita terpantas di rantau Asia Tenggara ketika ini bagi mengatasi catatan atlet naturalisasi Filipina, Kayla Anise Richardson yang melakukan 11.79s pada Mei 2016.

Lebih manis, keputusan itu juga mengubat kekecewaan Zaidatul Husniah pada Sabtu lalu berikutan catatan 11.35s dilakukannya pada kejohanan Liga AGN 7 di Pretoria, Afrika Selatan tidak diiktiraf kerana mendapat bantuan angin 2.5s.

Zaidatul Husniah dalam laman sosial Instagram miliknya yang menggunakan akaun ‘adeqpitcher’ mengakui, latihan di Afrika Selatan sejak bulan lalu membolehkan dia berlari lebih pantas.

Atlet dari Pulau Pinang itu turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih M. Balamurugan dan Morne Nagel, selain kakak kembarnya, Zaidatul Husna, ibu bapa serta rakan-rakan atlet lain.

“Alhamdulillah, selesai perlumbaan pada hari ini.

“Selepas sekian lama akhir­nya berjaya memperbaharui rekod peribadi terbaik dan memecah rekod kebangsaan yang dipegang G. Shanti 11.50s. Rekod ini dipegang beliau sejak 1993.

“Tahniah juga diucapkan kepada rakan sepasukan kerana melakukan yang terbaik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, M. Balamurugan kerana sentiasa memberikan sokongan kepada saya dan juga kepada jurulatih Morne, yang melatih kami di sini (Afrika Selatan) dan memberikan pengalaman baharu.

“Di samping itu, terima kasih kepada ibu bapa terutama ayah saya yang sentiasa memberikan sokongan dan kembar saya juga @usnazulkifli kerana sentiasa bersama saya.

“Akhir sekali, kepada semua rakan saya di Malaysia @[email protected]@[email protected]_sprinter. Zaidatul Husniah dan 10 lagi atlet lain berada di Afrika Selatan bagi menjalani latihan dan pertandingan sebagai persiapan menjelang temasya Sukan SEA, Kuala Lumpur, Ogos ini,” kata Zaidatul Husniah.

Kejayaan terbaharu Zaidatul Husniah memberi harapan buat Malaysia untuk menamatkan penantian panjang meraih pingat emas Sukan SEA apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, Ogos ini.

Kali terakhir Malaysia meraih emas 100m wanita pada Sukan SEA adalah di Jakarta 1997 menerusi Shanti yang mencatat masa 11.61s.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata, pihaknya menerima keputusan catatan dilakukan Zaidatul Husniah sebagai rekod selepas dimaklumkan hanya mendapat bantuan angin +0.4s.

Kata Karim, bagi membolehkan catatan atlet diterima sebagai rekod, dia tidak boleh menerima bantuan angin me­lebihi 2s.

“Buat masa ini kami sahkan ia sebagai rekod namun dalam masa sama akan terus menunggu maklum balas jawatankuasa teknikal kejohanan tersebut andai ada apa-apa perubahan.

“Kami harap ia akan kekal sebagai rekod kebangsaan tanpa sebarang masalah dan bagi pihak KOM, kami bersetuju untuk menghadiahkan RM5,000 kepada Zaidatul Husniah kerana berjaya memperbaharui rekod berusia 24 tahun itu,” kata Karim.