Menurut Mohamad, kejohanan tersebut adalah untuk tujuan rekreasi tanpa mengira latar belakang pemain golf yang terlibat maka ia tidak perlu menjadi isu yang besar.

"Kejohanan golf itu perlu diteruskan pada masa depan kerana ia merupakan aktiviti rekreasi yang menyihatkan. Saya juga perlu bersukan seperti orang lain.

"Hari ini tanpa mengira pangkat dan jawatan sama-sama menyertai Kejohanan Golf Piala Datuk Azhari Shaari atas semangat perpaduan sesama kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Piala Datuk Azhari Shaari.

Yang hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan.

Sementara itu, menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, kejohanan tersebut adalah wadah untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin UMNO dari seluruh negara khususnya di Selangor melalui aktiviti sukan.

Katanya lagi, walaupun hadiahnya tidak semewah kejohanan golf yang lain seramai 148 peserta berjaya dikumpulkan pada kejohanan sulung tersebut.

"Kejohanan hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta dalam kalangan pelbagai latar belakang pemimpin UMNO. Ada yang datang dari Negeri Sembilan dan dari seluruh Selangor untuk bersama-sama Tok Mat Hasan memukul bola golf, " katanya. - UTUSAN ONLINE