Pakar perancangan sukan dari Australia itu mengesahkan dia telah menghantar surat peletakan jawatannya hari ini kepada Syed Saddiq.

Antara kandungan surat itu, Newenham yang mengetuai Program Podium sejak dilancarkan pada 2016, berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan atlet Malaysia dalam kedua-dua temasya itu.

“Atlet mencapai tujuh sasaran pingat emas dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia tetapi tidak mencukupi untuk mencapai sasaran Program Podium iaitu untuk menduduki kedudukan 10 terbaik dalam kalangan negara peserta.

“Sebagai Pengarah Podium, saya mengambil tanggungjawab atas persembahan atlet dan dengan itu pada hari ini saya memberi notis peletakan jawatan saya kepada Menteri Belia dan Sukan,” katanya dalam surat itu.

Namun, Newenham turut menyenaraikan kejayaan yang diperoleh hasil kewujudan Program Podium antaranya Malaysia memenangi lebih banyak pingat dalam Sukan Olimpik Rio dan Sukan Paralimpik Rio 2016 diban­dingkan dengan temasya sebe­lumnya.

Dia turut menjelaskan bahawa program itu telah berjaya melahirkan tujuh atlet bergelar juara dunia.

“Pelbagai peningkatan dan pengubahsuaian ke atas Sistem Prestasi Tinggi telah dilaksanakan menerusi pasukan pegawai kami di sini dan di luar negara menggunakan pengalaman dan latihan. Menjadi harapan saya sistem itu akan diguna pakai bagi kegunaan semua orang di Malaysia.

“Saya sering berharap dapat menyediakan amalan terbaik untuk dibangunkan Program Podium untuk membantu mereka yang lain.

“Saya bersyukur kerana memperoleh peluang untuk membantu sukan di Malaysia dan pengiktirafan istimewa diberikan kepada pegawai yang bekerja keras tanpa mengira penat, kepada rakan agensi dan terutamanya atlet itu sendiri kerana dedikasi menjadi kebanggaan Malaysia,” katanya.

Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menyaksikan kontinjen negara sekali lagi gagal menempatkan diri dalam kalangan 10 peserta terbaik apabila hanya membawa pulang tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa untuk menduduki tempat ke-14 ke­seluruhan.

Kegagalan itu mengekori kegagalan dalam Sukan Komanwel di Gold Coast April lalu, apabila kontinjen negara menamatkan kempen dengan menduduki tempat ke-12, dua anak tangga daripada sasaran setelah sekadar memenangi tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.

Program Podium yang sudah berbelanja sebanyak RM67 juta diletakkan sasaran untuk membantu Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan pada kedua-dua temasya itu dan kemuncaknya memenangi pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo.