Rekod Shanti itu berusia 24 tahun, sama dengan usia atlet dari Kedah itu.

Kini kejayaan Zaidatul telah melengkapkan revolusi dalam acara riben biru terutama selepas Khairul Hafiz Jantan memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s ketika menyertai Sukan Malaysia di Sarawak tahun lepas.

Dari segi catatan mereka itu, Khairul Hafiz dan Zaidatul meng­huni ranking tertinggi di pentas Asia Tenggara ketika ini jika dibandingkan dengan pencapai­an pencabar terdekat dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

Adakah ini petanda bahawa Malaysia berupaya menguasai acara 100m lelaki dan wanita buat kali pertama dalam Sukan SEA 2017 selepas kali terakhir atlet negara meraih gelaran raja serta ratu pecut ketika Sukan SEAP 1967 di Bangkok menerusi R. Gunaratham (10.50s) dan Cheryl Dorall (12.50s).

Bagi saingan 100m lelaki, pencabar terdekat Khairul Hafiz bukan lagi pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Eric Cray yang melakukan catatan masa 10.25s. Jaguh dari Filipina itu dikhabarkan tidak akan mempertahankan gelarannya pada temasya sama tahun ini kerana ingin fokus dalam saingan 400m.

Ketiadaan Cray menyebabkan Filipina mungkin mempertaruhkan atlet daripada Program Fil-Heritage mereka iaitu Bryan Mercado yang dilahirkan di Los Angeles dengan catatan masa terbaik 10.53s dilakukan pada Mei lalu namun itu bukan satu ancaman besar buat pelari pecut negara.

Sebelum ini dua atlet pecut Asia Tenggara iaitu Abdul Iswandi Hamid Abdullah dari Indonesia serta jaguh Thailand, Jirapong Meenapra dilihat menjadi pilihan dalam saingan 100m Sukan SEA 2017 tetapi kini tidak lagi

Catatan masa terbaik Abdul Iswandi musim lalu ialah 10.40s dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, 28 April lalu namun prestasi pelari berusia 26 tahun itu menurun pada aksi Sukan Universiti Asian (AUG) 2016 apabila sekadar menamatkan larian di tempat ketiga dengan catatan 10.74s tewas kepada pemenang pingat emas Jona­than Nyepa dari Malaysia yang me­lakukan catatan 10.62s.

Thailand yang sebelum ini dilihat sebagai kuasa besar olahraga Asia Tenggara juga masih belum membuktikan penguasaan mereka sejak musim lalu terutama dalam saingan 100m selain terus meletakkan sandaran ke atas pemenang pingat emas Sukan SEA 2013, Jirapong.

Pelari berusia 24 tahun itu, yang suatu ketika dahulu digeruni dalam aksi 100m, kini hanya berupaya mencatat masa 10.42s terbaik musim lepas dalam kejohanan di Jerman pada 17 Julai lalu dan catatan masa itu terlalu jauh untuk dibandingkan dengan catatan 10.18s milik Khairul Hafiz, Jonathan (10.36s) dan Badrul Hisyam Abdul Manap (10.34s).

Sementara bagi saingan 100m wanita, Zaidatul dilihat perlu mengekalkan prestasi semasa kerana pencabar terdekatnya iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Kayla Anise Richardson dari Filipina dan pemenang pingat gangsa temasya sama Veronica Shanti Pereira dari Singapura telah menunjukkan peningkatan positif baru-baru ini.

Dalam Sukan SEA 2015, Richardson meraih pingat emas dengan catatan 11.76s manakala Shanti Pereira mencatat 11.88s untuk pingat gangsa.

Atlet berusia 19 tahun kelahiran Amerika Syarikat, Richardson mempunyai catatan peribadi terbaik 11.65s dalam acara 100m dilakukan pada tahun 2015 dan masih berupaya memperbaikinya kerana faktor usia yang masih muda berbanding Zaidatul Husniah, 24 tahun.

Shanti Pereira yang kini berusia 21 tahun adalah pencabar dalam acara 100m wanita yang perlu diberikan perhatian serius oleh Zaidatul kerana atlet dari Singapura itu sudah mampu memperbaiki catatannya ketika meraih pingat gangsa Sukan SEA 2015 apabila melakukan 11.78s dalam kejohanan di New Zealand awal tahun ini.