Ini adalah kali kelima Terengganu mengungguli temasya yang memasuki edisi ke-19, sekali gus mengetepikan dua kuasa sukan ta­nah air, Wilayah Persekutuan (52 emas, 38 perak dan 50 gangsa) dan Selangor (47 emas, 68 perak dan 67 gangsa).

“Kejayaan ini membuktikan program pembangunan akar umbi kami sangat berjaya.

“Kami sudah bersedia menjadi kuasa baharu sukan tempatan dan saya percaya kami mampu berbuat demikian. Satu kejayaan cukup bermakna apabila Terengganu mengambil alih dominasi Selangor,” kata Ketua Kontinjen Terengganu, Samiun Salleh.

Sukan berbasikal, pelayaran dan olahraga menjadi peyumbang emas utama negeri itu.

Nur Aisyah Mohamad Zubir muncul atlet paling cemerlang dalam acara berbasikal apabila meraih tujuh pingat emas, manakala Azreen Nabila Alias mengungguli acara 100, 200 dan 4x100 meter untuk dinobat sebagai Olahragawati.

Sukma 2018 melabuhkan tirai malam ini dengan keha­diran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, diiringi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Upacara menurunkan bendera Sukma 2018 dan pe­nyerahan bendera Sukma 2020 kepada Johor sebagai tuan rumah dilakukan selepas ucapan aluan Ahmad Faizal dan Dr. Wan Azizah.

Hujan sejak petang nyata tidak melemahkan kira-kira 25,000 penonton untuk hadir menyaksikan majlis penutup yang terdahulu diserikan dengan persembahan akrobatik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), simfoni perpaduan yang mempamerkan persembahan gendang daripada pelbagai kaum serta persembahan kumpulan kesenian serta beberapa artis popular lain turut diadakan sejak pukul 5 petang.

Atlet memanah Sabah, Eugenius Lo Foh Soon dan ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dinobat sebagai Olahragawan serta Olahragawati Sukma 2018. - UTUSAN ONLINE