Justeru, Presidennya, Datuk Ayub Rahmat mendesak dan merayu supaya sukan angkat berat yang sebelum ini terpalit dengan isu doping dipertimbangkan dan dimasukkan semula dalam acara Sukma 2020 yang akan berlangsung di negeri ini tahun depan.

Menurutnya, PABM menganggap keputusan masih mempertimbangkan sama ada angkat berat akan dipertandingkan pada temasya tersebut adalah tidak adil memandangkan pelbagai usaha yang sudah dan akan terus diambil persekutuan.

“PABM mengambil perhatian kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan masih mempertimbangkan sama ada sukan angkat berat akan dipertandingkan pada Sukma 2020, namun menganggap keputusan itu tidak adil.

“Ini kerana, peratusan kes positif doping angkat berat Sukma Perak cuma 1.7 peratus iaitu tiga daripada 177 atlet yang menyertai temasya terbesar sukan negara tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, bahan larangan yang digunakan atlet terlibat baru berkuat kuasa pada tahun lepas di mana sebelum ini ia dibenarkan dan PABM tidak menolak kemungkinan pembekal kepada Majlis Sukan Negara (MSN) tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Ayub berkata, beliau percaya semua negeri sudah membuat persiapan dalaman sebagai persediaan Sukma 2020, malah kejohanan antara pusat latihan, kejohanan persahabatan, kejohanan antara negeri sedang giat berlangsung dan jika digugurkan ia akan mematahkan usaha PABM, MSN negeri dan PABM negeri.

“Sebagai makluman, PABM bersama-sama MSN, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), persatuan-persatuan angkat berat negeri serta atlet dan jurulatih sentiasa bekerjasama supaya isu doping tidak berlaku lagi dalam sukan ini, ia termasuk menerusi penganjuran seminar, bengkel dan ujian saringan doping kepada atlet bertanding di kejohanan antarabangsa turut dilakukan.

“PABM juga sudah menggantung penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa selama setahun bermula 30 Mei tahun lepas hingga April lepas yang bertujuan memberikan pengajaran dan pendidikan kepada para atlet agar tidak mengambil bahan larangan dalam sukan tersebut,” katanya.

Buktinya, kata Ayub, pada tahun ini, tidak ada kes terbaru doping dilaporkan walaupun ujian saringan dilakukan ADAMAS dan World Anti Doping Agency (WADA) ke atas atlet negara sekali gus menunjukkan usaha dilakukan PABM dan pihak-pihak terlibat adalah serius dalam menangani isu doping. - UTUSAN ONLINE.