Pegawai Kontinjennya, Nor Ashikin Hassan berkata, meskipun yakin UiTM berupaya merealisasikan impian itu, namun mereka enggan memandang rendah terhadap kemampuan peserta lain pada temasya kali ini, yang semakin kompetetif.

“Kami cuba mencipta hatrik dan kesemua peserta sudah bersiap sedia untuk mengharungi SukIPT kali ini. Kami menyasarkan 58 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan.

“Begitu pun, tekanan tetap dirasai, dengan persaingan yang semakin kompetetif dan kehadiran dari universiti luar, sudah tentu saingan akan menjadi lebih sengit.

“Bagaimanapun dengan perancangan rapi daripada Unit Pembangunan Sukan UiTM dan Pusat Sukan UiTM, Insya-Allah kita sudah bersedia mencapai sasaran,” katanya selepas ditemui pada majlis Perasmian Perkampungan Sukan SukIPT 2018 di UKM, di sini semalam.

SukIPT edisi keempat itu menawarkan 27 acara dengan 238 emas bakal menjadi rebutan, melibatkan penyertaan seramai 10,000 atlet, pegawai serta sukarelawan daripada 69 kontinjen tempatan, selain sembilan kontinjen IPT antarabangsa.

Mengulas lanjut, Nor Ashikin menyifatkan Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menjadi salah satu pencabar terdekatnya kerana juara edisi 2012 itu memiliki ramai atlet dalam sukan yang menawarkan banyak emas seperti olahraga dan renang.

Selain UPM katanya, Majlis Sukan Politeknik dan Sunway Universiti turut dilihat menjadi pesaing UiTM.

“Kita memiliki 17 atlet kebangsaan antaranya Luqman Hakim Ramlan (olahraga), Nur Ain Nabilah Tarmizi (boling padang) dan Nur Intan Zulaikha Mohd. Firdaus. Memang kami sasarkan kesemua mereka merangkul emas,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE