Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, amaran untuk menghentikan program angkat berat negara pernah disuarakan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak lama dahulu ekoran kerapnya kes berkenaan menimpa sukan itu.

“MSN pernah beri amaran seumpama itu jika masih berlaku kes atlet-atlet negara gagal ujian (kerana mengambil bahan lara­ngan menurut senarai Agensi Antidoping Dunia - WADA).

“Kata mereka (MSN), apabila program diberhentikan, semua atletnya akan terpaksa pulang ke negeri masing-masing dan segala program pembangunan akan dijalankan di peringkat itu sahaja,” katanya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini semalam.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat mengumumkan penggantungan atlet angkat berat negara daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos ini, selepas mempengerusikan mesyuarat pertamanya sejak mengambil alih kepemimpinan badan induk itu dua minggu lalu.

Sepanjang tahun ini sahaja, sudah empat kes doping dikesan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) melibatkan atlet negara seperti Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesos yang positif mengambil dadah jenis Stanozolol pada 17 Mei lalu.

Terdahulu pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast April lalu, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad turut didapati positif menggunakan bahan Stanozolol sebelum menyertai ka­tegori bawah 85 kilo­gram temasya ke-21 itu lagi.

Amirul mengalu-alukan tindakan nekad dan tegas PABM itu yang turut menubuhkan jawatankuasa bebas antidoping dan mewajibkan atlet menjalani ujian di Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) sebelum menyertai mana-mana kejohanan kebangsaan termasuk Sukan Malaysia di Perak, September ini.

“Memang keputusan PABM ini satu tamparan hebat kepada sukan angkat berat negara terutama atlet-atlet yang mahu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 melalui kejohanan antarabangsa terpilih.

“Namun ini adalah langkah yang betul dan sebagai pengajaran yang perlu mereka ambil kerana kesilapan besar itu,” kata Amirul, yang merupakan pemenang tiga pingat emas 56kg Sukan Komanwel Manchester 2002 dan sebutir emas Delhi 2010.

Siapa lagi yang lebih mengerti masalah dan pengajaran itu selain beliau sendiri yang pernah ditimpa isu doping pada Jun 2005 apabila didapati positif mengambil anabolic steroids dalam ujian di luar pertandingan sehingga digantung selama dua tahun.

Sementara itu Ayub menyifatkan kebanyakan kes doping atlet negara adalah disebabkan keghairahan mereka dalam memburu ganjaran lumayan hasil kejayaan meraih pingat emas dan pengetahuan terhad dalam memilih bahan suplemen yang dijual secara dalam talian.