Mat Sport
Mat Sport

Setelah berjuta-juta wang rakyat habis dilaburkan untuk melihat atlet kita berjaya di peringkat antarabangsa, tiada hasil positif dapat dilihat jika pencapaian di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast dan terbaharu, Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang diambil kira.

Kalau beginilah prestasi atlet kita, hasrat untuk memperoleh pingat emas pertama Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti tidak akan tercapai walhal elaun/gaji bulanan diberi dan latihan di luar negara disediakan.

Bayangkan berapa banyak sudah kerajaan berbelanja tetapi hasilnya hampeh juga, Hendak salahkan siapa. Insititut Sukan Negara (ISN) yang mengendalikannya, persatuan sukan atau atlet itu sendiri?

Jelas ISN bukan badan sukan yang benar-benar mempunyai kepakaran untuk mencapai tujuan murni Program Podium ini. Hanya mengharapkan sains sukan tanpa ada kemahiran untuk mengendalikannya menyebabkan pelaburan selama ini menjadi sia-sia.

Bawa masuk Mat Saleh macam mana hebat sekali pun di pihak pengurusannya, program ini tetap dianggap gagal kerana tiada tanda-tanda ia menunjukkan potensi ke arah membantu kejayaan atlet.

Memang ada suara sumbang yang mengatakan dua tahun merupakan tempoh yang terlalu singkat untuk melihat kejayaan. Itu benar tetapi takkan ketika tiada kejayaan besar dicatat, putik-putik kejayaan pun kita tidak boleh lihat.

Ini tidak! Langsung tidak nampak atlet yang berpotensi untuk diketengahkan ke Sukan Olimpik 2020. Daripada 12 sukan yang meraih pingat di Sukan Asia 2018, hanya satu sukan yang dipertandingkan di Olimpik berjaya meraih emas iaitu basikal trek.

Selebihnya tenpin boling, pelayaran dan skuasy bukanlah sukan yang dipertandingkan di temasya sukan terbesar di dunia itu. Bayangkan kalau Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis gagal layak ke Sukan Olimpik. Macam mana?

Mengharapkan badminton pula ibarat menunggu buah yang tidak gugur apatah lagi dengan keadaan Datuk Lee Chong Wei yang kini semakin dimamah usia dan mudah ditimpa kecederaan.

Sebenarnya keberkesanan daripada Program Podium setakat ini, ia dilihat lebih banyak buruk daripada baiknya. Paling ketara, ia menjadikan persatuan sukan dan atlet ‘lepas tangan’ tentang misi sebenar mereka.

Persatuan sukan misalnya gagal menyenaraikan dan mengenal pasti atlet-atlet yang benar-benar layak untuk berada di bawah Program Podium ini, Pemilihan atlet tidak berdasarkan merit tetapi sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Peruntukan menghantar atlet berlatih di luar negara disediakan tetapi pencapaian tetap tidak seberapa. Lihat sahaja apa jadi dengan kuartet 4x100 meter lelaki negara. Berbulan-bulan berlatih, buat hantaran baton pun tidak betul dan ini cukup memalukan.