Sebaliknya ketua jurulatih negara Peter Genever berkata pemain lain juga mampu memenangi emas sekali gus dilihat akan me­ngurangkan tekanan yang terpaksa dipikul Nicol seorang sejak temasya 2010.

Genever walau bagaimanapun enggan mendedahkan siapa pemain lain yang menjadi harapannya dan dalam masa sama tetap meletakkan harapan tinggi kepada Nicol untuk memenangi emas buat kali ketiga berturut-turut.

Nicol merupakan juara perseorangan temasya 2010 di New Delhi, India dan 2014 di Glasgow, Scotland. Namun pada temasya tahun ini, dia hanya diletakkan sebagai pilihan ketiga di belakang Laura Massaro dari England dan Joelle King dari New Zealand.

“Secara jujurnya, kami menjangkakan dapat membawa pulang dua emas kali ini dan mungkin tambahan satu lagi sebagai bonus. Jadi saya harap pemain lain selain Nicol mampu mereali­sasikannya kerana kami memang membuat persediaan rapi.

“Memang akan ada pingat emas lain yang kita sasarkan selain daripada Nicol tetapi saya tidak boleh dedahkan menerusi acara apa buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar persediaan atlet podium ke Sukan Komanwel di Bukit Jalil hari ini.

Malaysia menyenaraikan gabungan pemain senior dan junior kali ini yang terdiri daripada lima pemain lelaki dan empat wanita untuk menyertai tiga acara individu yang dipertandingkan iaitu perseorangan, beregu dan beregu campuran.