AYUB RAHMAT

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, selain itu ada juga alasan dadah peransang (stimulant) yang dikesan dalam sampel air kencing baru sahaja diharamkan awal tahun ini, sekali gus berada di luar pengetahuan.

“Kami sudah menerima surat penjelasan daripada ketiga-tiga atlet terbabit dan mereka memberi banyak alasan yang menjurus kepada positifnya ujian doping tersebut. Ada yang minta dilakukan ujian sampel B dan ada yang tidak mahu.

“Apa pun kesemua alasan ini akan disiasat Jawatankuasa Anti-Doping PABM apabila sesi pendengaran bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini. PABM kini hanya menunggu lampu hijau daripada pengerusi jawatankuasa tersebut untuk bersidang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau tidak mahu campurtangan dalam siasatan tersebut sebaliknya membiarkan Jawatankuasa Anti Doping PABM melaksanakan tugas mereka dengan bebas termasuk mengenalpasti prosedur yang digunakan MSN Negeri dalam menentukan pemilihan produk makanan tambahan sebelum ia dibeli dan diberikan kepada atlet.

Setakat ini tegasnya, ketiga-ketiga kes terbaru yang dicatat pada Sukma 2018 di Perak, bulan lalu disahkan berpunca daripada makanan tambahan yang diberikan kepada atlet angkat berat terbabit.

“Dalam kes membabitkan atlet angkat berat Pahang yang positif dua jenis dadah peransang sekali gus iaitu Methylhexaneamine dan Dimethylbutylamine, ada maklumat yang mengatakan ia baru diharamkan awal tahun ini walhal sebelum ini ia dibenarkan.

“Namun, PABM akan tetap siasat maklumat ini benar atau tidak terlebih dahulu terma­suk dakwaan membabitkan MSN Negeri dan akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum menjatuhkan sebarang hukuman,” tegasnya.

Pada 12 Oktober lalu, dua atlet angkat berat Sukma, seorang lelaki dan seorang wa­nita, ke­dua-duanya dari Terengganu dan baru berusia 18 tahun di­sahkan positif doping.

Ini tidak termasuk spekulasi seorang atlet judo wanita Sukma dari Perak.