Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Shalin ketuai skuad boling ulangi pencapaian temasya 1999, 2001

ANGGOTA skuad boling wanita (dari kiri) Natasha Roslan, Shalin
ANGGOTA skuad boling wanita (dari kiri) Natasha Roslan, Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Sin Li Jane dan Esther Cheah ketika meraikan kejayaan menang pingat emas berpasukan dalam Sukan SEA Ke-29 di Petaling Jaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Boling jarang sekali menghampakan di pentas Sukan SEA apabila terus menjadi penyumbang tetap pi­ngat emas kepada kontinjen Malaysia.

Dalam temasya kali ini di ibu negara, skuad negara sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila menyamai pencapaian pada Sukan SEA 1999 di Brunei dan 2001 di Kuala Lumpur setelah merangkul tujuh emas, empat perak dan tiga gangsa.

Namun, yang menjadi perbezaan antara dua temasya ber­kenaan dengan Sukan SEA ke-29 ialah acara All Event yang tidak lagi dipertandingkan pada temasya terbesar di Asia Tenggara itu. Ini bermakna hanya 11 pingat emas yang mejadi rebutan atlet bertanding pada tahun ini, berbanding 13 emas pada 1999 dan 2001.

Apa yang lebih menarik ketika skuad kebangsaan mencipta kegemilangan pada temasya 1999, Malaysia dibimbing oleh ketua jurulatih kelahiran Kanada, Sid Allen yang kini menerajui pasukan boling Indonesia.

Ketua jurulatih Malaysia ketika ini, Halloway Cheah merupakan pembantu kepada Allen yang membimbing skuad boling negara pada 1990 hingga 2000. Halloway mula menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih pada 2001, yang menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian tujuh emas di Brunei.

Selain Halloway yang masih kekal bersama skuad kebangsaan, ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang juga penyumbang emas pada Sukan SEA 1999 dan 2001, membuktikan dirinya masih hebat apabila merangkul emas ke-20 temasya sewaktu menjuarai acara masters setelah menundukkan Tannya Roumimper dari Indonesia.

Pemain berusia 39 tahun itu, turut memenangi pingat emas di dalam acara trio dan juga berpasukan wanita, yang sekali gus menyaksikan Shalin membawa pulang tiga emas, satu gangsa pada temasya kali ini.

Selain Shalin, pemain muda negara, Muhammad Rafiq Ismail, 20, dan Sin Li Jane, 25, turut cemerlang dengan tiga emas. Rafiq melakar keputusan sensasi apabila menjuarai acara masters, perseorangan lelaki dan juga beregu campuran berpasangan dengan Li Jane.

Li Jane pula selain beregu campuran, dia juga menggondol emas dalam trio dan berpasukan wanita. Turut menyumbang emas ialah beregu lelaki, Alex Liew-Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan empat pemain wanita, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan, Esther Cheah serta Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Halloway ketika ditemui, baru-baru ini, melahirkan rasa gembiranya di atas kejayaan anak-anak buahnya membawa pulang tujuh pingat emas setelah sekian lama tidak berbuat demikian.

“Saya sangat gembira di atas kejayaan ini, saya akui memang sasarkan lebih lima pingat emas, tapi saya tak sangka pula kita mampu meraih tujuh emas dan yang paling tidak dijangka kemenangan kita menerusi trio wanita. Saya sebenarnya aspek beregu (wanita) yang menang tapi kita tak menang pula,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain