Sedar akan populariti yang dimiliki Williams, usaha kini sedang dijalankan untuk memujuk bintang tenis Amerika Syarikat (AS) itu beralih kepada gelanggang baharu - World Wrestling Entertainment (WWE).

Ketua Eksekutif Jenama WWE, Stephanie McMahon me­ngakui, dia cuba meyakinkan legenda tenis berusia 37 tahun itu untuk bertukar gelanggang bagi membawa revolusi kepada sukan gusti hiburan tersebut.

Katanya, sambutan hebat yang diterima oleh bintang seni mempertahankan diri campuran (MMA), Ronda Rousey apabila beralih kepada WWE membuatkannya bersemangat untuk mencari lebih ramai muka baharu dari sukan berbeza.

“Serena! Saya mahu Serena. Dia sangat menakjubkan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat WWE di New York.

Pada ketika prospek Williams bakal beralih gelanggang masih belum muktamad, McMahon, anak kepada pemilik WWE, Vince McMahon berkata, fokusnya ketika ini adalah me­lakukan revolusi dalam sukan gusti wanita.

Williams, ibu kepada seorang anak perempuan adalah pemilik 23 gelaran Grand Slam, sekali gus menjadikannya antara pemain tenis wanita paling berjaya dalam sejarah.

Dia berjaya memenangi tujuh kejuaraan Wimbledon dan Terbuka Australia, selain menang enam kali dalam Terbuka AS dan tiga kali dalam Terbuka Perancis.

Biarpun mengalami kemerosotan sejak melahirkan anak pertamanya pada September, tahun lalu dan kini menghuni ranking ke-17 dunia, Williams masih bersemangat untuk meneruskan karier tenis.

Dia kini berusaha untuk kembali merampas takhta No. 1 dunia. – AGENSI